“Jangan panggil saya Tomok!” – Tomok

“Jangan panggil saya Tomok!” – Tomok


Kami pernah menulis luahan hati oleh Khai menegenai Tomok suatu ketika dulu [entri ini] dan kali ini Kosmo tampil untuk menukar tanggapan masyarakat mereka yang kononnya bandar dan international.
LEWAT kebelakangan ini, nama Tomok kembali hangat. Dalam industri hiburan, siapa yang tidak pernah mendengar nama Tomok. Nama ini selalu dipersenda. Banyak orang yang skeptikal apabila mendengar nama Tomok.



Dia digelar penyanyi dengan suara meleleh. Band yang diasaskan juga, New Boyz dilabelkan sebagai kugiran kampung.

Pendek kata, Tomok dan New Boyz macam satu virus yang menggelikan kelompok yang merasakan diri mereka orang bandar atau pejuang muzik internasional.

Tetapi nama Tomok hari ini disebut dalam nada berbeza. Ramai yang sudah mula kagum dengan penyanyi ini.

Menyaksikan kredibilitinya dalam One In A Million (OIAM), baru ramai menyedari bahawa potensi penyanyi ini bukan sekadar menyanyi lagu leleh dengan suara sedikit sengau. Namun Tomok mempunyai lebih daripada suara lelehnya itu.

Lebih-lebih lagi selepas ramai yang terkesima menyaksikan dia mendendangkan lagu Crazy In Love milik ratu hip hop, Beyonce Knowles. Mendadak terus saham Tomok naik lebih tinggi daripada kebiasaan.

Tomok yang saya temui hujung minggu lalu hanya senyum. Ringkas tapi tepat maksud bicaranya: “Saya tahu, kutukan terhadap saya sudah melimpah ruah. Tak muat ruang lagi dah.” Dia ketawa. Sinis.

Dia kemudian menyambung bahawa dia seorang lelaki yang realistik. Selalu dia tanam dalam diri, dalam sejuta yang membencinya, pasti terselit orang yang sukakannya.

Dia juga tidak hidup kerana orang, lantas cacian itu hanya satu asam garam kehidupan.

Enggan pakai nama Tomok

Biarpun dia tahu ramai yang memandang dirinya sebagai penyanyi leleh dan kekampungan, kata Tomok, dia tahu siapa dirinya.

Dia pun tak mahu dilabel begitu, tetapi apabila dilabel dan sering diperkata orang, bermakna dirinya relevan.

Kerana itu, selepas 10 tahun berada dalam belantika muzik, sarat memikul hinaan orang terhadap vokal dan muzik lelehnya, Tomok berasa sudah masanya dia keluar daripada kepompong.

Lantas OIAM menjadi platform terbaik buat dia mempamer kredibiliti diri. Usia 10 tahun menjadi vokalis band yang pernah menimbulkan fenomena dengan hit Sejarah Mungkin Berulang itu mahu mengulang sejarah baru. Tapi kali ini dalam perjuangannya secara solo.

“Saya mula menyanyi pada usia 14 tahun. Usia 15 tahun, New Boyz muncul dengan album pertama yang terjual ratusan ribu unit. Kami meletup betul pada masa itu.

“Ramai orang yang mengutuk muzik leleh kami. Tapi itu yang pasaran mahukan. Suara saya pun tak pecah lagi waktu itu. Budak sangat lagi.

“Tapi sekarang, saya rasa saya sudah sedia untuk bangkit. Saya mahu buktikan pada semua bahawa saya boleh melakukan lebih daripada apa yang orang pernah lihat saya dalam New Boyz sebelum ini.

“Sebab itu saya sangat berusaha keras memperbaiki diri dan membawa pembaharuan dalam setiap imej dan persembahan saya. Saya mahu orang lihat inilah Tomok yang baru. Yang lebih matang dan lebih bersedia,” katanya penuh optimis tentang misi masa depan.

Misi baru, kata Tomok, adalah dengan menaik taraf jenama dirinya sendiri. Mengaku begitu sayang dengan penggunaan nama Tomok, tapi dia mempunyai pemikiran untuk menggunakan nama sebenarnya bagi penjenamaan semula dirinya.

Kata Tomok: “Mungkin orang sudah lupa, malah ada yang tak tahu nama sebenar saya ialah Shah Inderawan. Orang hanya ingat saya dengan nama Tomok.

“Tapi kali ini saya berfikir untuk menggunakan nama Inderawan sebagai pengenalan saya bergerak solo. Saya rasa ia juga sesuai dengan usia 24 tahun dan kematangan saya.”

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. E-RECHTER - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger